Jenis Baja Sawit & Peningkatan Hasil
🌴

Jenis Baja Sawit & Peningkatan Hasil

Jenis Baja Untuk Kelapa Sawit Yang Baik

Anda perlu tahu sebenarnya ada pelbagai jenis baja untuk kelapa sawit yang terbaik. Dan membaja adalah aktiviti utama bagi petani supaya pokok sawit cepat besar dan berbuah banyak. Pokok kelapa sawit yg mendapatkan baja cukup akan mempunyai hasil yang memuaskan.

Pekebun yang mendapat hasil yang sedikit adalah kerana tanah telah kekurangaa kesuburan, serangan penyakit dan serangga perosak yang memakan batang pokok kelapa sawit, cuaca terlalu panas atau terlalu sejuk, dan baja yang kurang.

Adalah penting bagi anda untuk mengetahui jenis baja yang betul dan berkualiti untuk pokok sihat dan buah yang banyak dan besar.

Baja Sawit adalah input paling penting dalam penjagaan sawit di mana memberi impak paling besar dari segi hasil dan juga ekonomi (perbelanjaan sawit).

Baja Tulen - FB :
Baja Tulen - FB : Megabizz

Nutrien yang diperlukan oleh pokok kelapa sawit

Lazimnya pembajaan merupakan antara aspek yang paling penting dalam penjagaan tanaman sawit.

Kandungan nutrien baja dipecahkan kepada 2 jenis iaitu

  • Macronutrient (Nutrien Utama)
  • Micronutrient (Nutrien Salingan)

Makronutrien (Nutrien Utama)

Nutrien utama ini terbahagi kepada 3 - N P K .

(Keperluan: 4kg setahun per unsur)

N - Nitrogen (Untuk Daun)

P - Phosforus (Fosfat - Untuk Akar)

K - Kalium (Potash - Untuk Buah)

Makronutrien Sekunder (Nutrien Sekunder)

Nutrien yang diperlukan yang kuantiti kecil (keperluan: +-100g setahun)

Mg - Magnesium

B - Boron

Mikronutrien (Nutrien Salingan)

Nutrien yang diperlukan yang kuantiti kecil

Zn - Zink

S - Sulfur

Whatsapp:
Whatsapp: Baja Organik Webpage : Baja Kompos

Keperluan Baja Sawit - MPOB

Baja sawit perlu diberi pada setiap peringkat kehidupan sawit. Antara jumlah baja sawit yang disyorkan oleh MPOB.

Peringkat Pra-matang (1-3 tahun) : Sebanyak 3.0-6.0 kg baja sawit per pokok per tahun.

Kekerapan membaja - 3 kali setahun

Peringkat Matang (4-18 tahun) : Sebanyak 9.0-12.0 kg baja sawit per pokok per tahun.

Kekerapan membaja - 3 kali setahun

Peringkat Matang Tua (19-22 tahun) : Sebanyak 3.0-6.0 kgbaja sawit per pokok per tahun.

Kekerapan membaja - 3 kali setahun

Peringkat Tua (+ 24 tahun) : Baja sawit dihentikan 2 tahun sebelum penanaman semula

image

Jenis Baja Untuk Kelapa Sawit

Jenis baja untuk pokok kelapa sawit yang baik ia harus mengandungi semua nutrent yang tersenarai di atas. Baja pula dibahagikan kepada

  • Baja Kimia
    • Baja Unsur
    • Baja Campuran
    • Baja Sebatian NPK
  • Baja Mineral Galian
  • Baja Organik

Ketiga-tiga jenis baja atas pula terbahagi juga kepada

  • Baja Satu Unsur / Baja Tunggal
  • Baja Campuran Unsur

Baja Sawit Terbaik

Istilah baja sawit terbaik sering diperkatakan dalam soal pembelian baja.

Sebenarnya baja sawit terbaik adalah baja sawit yang paling sesuai dengan keadaan tanah dan keadaan pokok sawit.

Contohnya, baja sawit terbaik untuk tanah gambut adalah penjadualan baja yang mengandungi baja Zink (Zn) dan Kuprum (Cu). Ini disebabkan keadaan tanah gambut yang mempunyai kekurangan nutrient tersebut.

Baja Sawit Terbaik untuk pokok kecil iaitu pokok sawit umur 1 tahun adalah baja yang mempunyai kandungan NPK 15:15:15.

Dibawah adalah baja sawit terbaik untuk keadaan tanah dan keadaan pokok sawit tertentu:

Baja Sawit Terbaik - Daun Berkedut: Baja Boron - 150g

Baja Sawit Terbaik - Umur 1 tahun : Baja NPK 15:15:15

Baja Sawit Terbaik - Tanah Gambut: Baja Zink Sulfat 200g (tambahan)

Baja Kuprum Sulfat 200g (tambahan)

Baja Kimia

Baja kimia adalah baja yang dihasilkan menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik contohnya campuran bahan yang mengandungi asid sulfurik dan gas ammonia dalam pembuatan baja ammonium sulfat.

Melalui tindak balas kimia, bahan tersebut berubah kandungan dari segi atom dan molekul lalu membentuk bahan baharu iaitu ammonium sulfat. Baja kimia ini mengandungi dua unsur iaitu nitrogen dan sulfur.

Kandungan unsur pemakanan tumbuhan adalah tinggi dalam baja kimia. Pelepasan unsur pemakanan tumbuhan daripada baja kimia adalah cepat berbanding baja organik dan baja mineral disebabkan sifat yang mudah larut dan mudah meresap ke dalam tanah.

Oleh sebab itu, baja kimia digunakan pada peringkat pertumbuhan yang tertentu, contohnya sepuluh ke 20 hari selepas penanaman, peringkat pembungaan dan pembentukan buah bagi memastikan nutrien daripada baja kimia digunakan sepenuhnya oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan tersebut.

Jenis-jenis Baja Kimia

Urea

  • Nutrient : Nitrogen (46%) 46-0-0
  • Jenis : Baja Tunggal, Baja Satu unsur
  • Nama Pasaran : Baja urea, Urea Baja, Urea

image

Baja Urea atau pupuk Urea adalah sejenis baja nitrogen yang mempunyai nisbah NPK (nitrogen-phosphorus-Kalium) 46-0-0. Ini bermakna kandungan nitrogen adalah 46%.

Urea merupakan antara baja nitrogen murah yang ada di pasaran, akan tetapi pasaran sekarang telah menunjukkan kenaikan harga bagi semua jenis baja.

Walaupun Urea lebih murah berbanding baja lain, Urea ada satu kekurangan ketara iaitu boleh hilang 20-40% nilai nitrogennya jika ditabur dengan salah. Maklumat tambahan seperti link di bawah

Baja SOA / Baja AS - Sulphate of Ammonia / Ammonium Sulphate

  • Nutrient : Nitrogen (21%), Sulfur (24%) 21-0-0-24S
  • Jenis : Baja Tunggal, Baja Satu unsur
  • Nama Pasaran : Baja SOA, Baja SOA Sawit, Baja AS, Baja 21
Baja SOA/AS
Baja SOA/AS

Baja SOA atau Baja SOA adalah sejenis baja nitrogen yang mempunyai nisbah NPK (nitrogen-phosphorus-Kalium) 21-0-0. Ini bermakna kandungan nitrogen adalah 21%.

Fungsi Baja SOA adalah sebagai baja nitrogen untuk perkembangan daun sawit dan tanaman lain. Baja SOA Sawit merupakan antara baja tunggal yang popular selain baja Urea dan Baja AC (ammonium chloride).

Selain dari pembekalan nitrogen, fungsi baja SOA juga termasuk membekalkan nutirent Sulfur bagi pokok kelapa sawit dan tanaman lain. Nutrient Sulfur adalah penting untuk sintesis protein tanaman.

Fungsi Baja SOA / Baja AS
Fungsi Baja SOA / Baja AS

Baja MOP - Muriate of Potash

  • Nutrient : Potash (K- Kalium) (60%) 0-0-60
  • Jenis : Baja Tunggal, Baja Satu unsur
  • Nama Pasaran : Baja MOP, Baja Buah, Baja Buah Sawit

image

Muriate Of Potash ( MOP ) adalah merupakan sejenis baja tunggal berketumpatan tinggi , mengandungi K2O atau dikenali sebagai Kalium klorida. ( MOP ) merupakan baja kalium universal/ umum yang sesuai untuk semua tanaman yang toleran terhadap klorida dan dapat diaplikasikan pada semua jenis tanah.

Baja MOP ini juga dikenali sebagai potassium chloride atau potassium klorida mempunyai kandungan Kalium sebanyak 60%. Baja MOP merupakan antara baja paling tinggi kandungan Kalium (potash) yang sangat penting untuk pertingkatkan penghasilan buah kelapa sawit. Oleh sebab penting untuk buah, baja MOP sering dipanggil ‘Baja Buah’.

Pentingnya Kalium dalam produksi kelapa sawit. kerana dengan tingkat pertumbuhan yang tinggi dari kelapa sawit, keperluan nutrisinya juga sangat besar.

Fungsi Baja MOP adalah untuk menampung keperluan Kalium kelapa sawit. Semakin banyak buah yang terhasil, semakin tinggi keperluan baja MOP.

Kalium terlibat dalam banyak fungsi biokimia dan secara positif mempengaruhi hasil pada berbagai jenis tanah ( ukuran tandan dan jumlah tandan) Dengan tambahan nitrogen, kalium menyebabkan kesan sinergi yang meningkatkan pertumbuhan, hasil per tandan dan nisbah minyak per tandan.

Fungsi Baja MOP:

Fungsi-fungsi utama MOP :

  • Menguatkan batang
  • Agen mengangkut glukosa dari dalam tanah
  • Meningkatkan penghasilan bunga
  • Tahan penyakit ( Serangan anai-anai dan Ganoderma)
  • Meningkatkan kualiti buah

Maklumat lanjut di bawah

Baja Mineral Galian

Baja galian adalah baja yang dihasilkan melalui pemecahan batuan yang mengandungi nutrien contohnya batu kapur yang mengandungi kalsium serta magnesium dan batuan fosfat yang mengandungi fosforus.

Proses penghasilan galian ini adalah disebabkan oleh tindakan luluhawa fizikal dan luluhawa kimia terhadap batuan yang merubah bentuk dan kandungannya.

Selain daripada itu, perlombongan batuan dilakukan bagi mendapatkan galian dalam bentuk serpihan yang lebih kecil atau serbuk galian yang sedia untuk digunakan.

Kebanyakan baja galian mempunyai nutrien tumbuhan yang rendah dan cara pelepasan unsur pemakanan ke dalam tanah adalah lambat disebabkan batuan ini lambat larut dan memerlukan jumlah air secukupnya bagi proses pelarutan dalam tanah.

Contoh baja galian ialah ‘China Rock Phosphate’ (CRP), ‘Christmas Island Rock Phosphate’ (CIRP), dan ‘Egyptian Rock Phosphate’ (EGP). Batuan fosfat ini dinamakan mengikut tempat perlombongan batuan fosfat tersebut.

Contoh baja galian ialah

  • China Rock Phosphate (CRP)
  • Christmas Island Rock Phosphate (CIRP)
  • Egyptian Rock Phosphate (EGP)
  • Jordan Rock Phosphate (JRP)
  • South America Rock Phosphate (SARP)
  • Dolomite

Batuan fosfat ini dinamakan mengikut tempat perlombongan batuan fosfat tersebut.

RP - Rock Phosphate

  • Nutrient : Phosphate (P : nPk) (13-20%) 0-0-13 hingga 20
  • Jenis : Baja Galian, Baja Mineral Galian, Baja Tunggal
  • Nama Pasaran : Baja RP, Baja Debu, Baja Akar

Baja RP atau Baja Rock Phosphate adalah sejenis baja galian yang dihasilkan dari pemecahan batu-batuan fosfat.

Baja ini datang dalam bentuk debu yang halus dan sering dipanggil baja debu. Kandungan fosfat yang tinggi adalah sangat baik untuk perkembangan akar pokok terutama pokok kelapa sawit.

Antara spesifikasi beberapa jenis Baja Rock Phosphate

CIRP (Christmas Island Rock Phosphate)

Warna : Coklat pudar

Bentuk : Powder/Debu

Kandungan P2O5 : 32.5-33.0%

Kandungan P : 14.2%

% Solublity (2% Citric Acids) – 28.5%

JRP (Jordan Rock Phosphate)

Warna : Coklat pudar

Bentuk : Powder/Debu

Kandungan P2O5 – 32.5%

Kandungan P – 13.%

% Solublity (2% Citric Acids) – 40.9%

CPR (China Rock Phosphate)

Warna : Coklat pudar

Bentuk : Powder/Debu

Kandungan P2O5 – 34.3%

Kandungan P – 15.0%

% Solublity (2% Citric Acids) – 21.3%

BAJA ORGANIK

Baja organik adalah baja yang dihasilkan menggunakan bahan asli tanpa campuran bahan kimia. Cara penghasilan baja organik adalah daripada pereputan sisa pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa haiwan.

Penguraian bahan asli daripada sisa tanaman dan haiwan mengambil masa lebih kurang dalam julat tiga bulan sehingga lapan bulan mengikut tinggi atau rendahnya kandungan bahan yang mudah atau lambat terurai.

Hasil akhir daripada proses penguraian ini dikenali sebagai kompos, iaitu baja organik yang terkenal dalam meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman.

Kandungan bahan humus (organik) dalam kompos adalah tinggi dan kandungan nutriennya bergantung kepada campuran sisa yang digunakan, contohnya jika campuran menggunakan daun kekacang dan sisa haiwan, kandungan nitrogen adalah tinggi.

Manakala, jika abu daripada pembakaran pelepah sawit digunakan dalam campuran pembuatan kompos, maka kandungan kalium adalah tinggi.

Pelepasan bahan humus daripada kompos adalah perlahan dan biasanya dibekalkan kepada tanaman pada musim awal penanaman supaya boleh diambil oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan.

Baja Cacing - Baja Vermikompos

Vermikompos adalah kompos yang diperoleh dari hasil pereputan bahan-bahan organik (sisa tanaman) yang dimakan dan di cerna oleh cacing tanah. Vermikompos merupakan campuran kotoran cacing tanah (casting) dengan sisa media .

Oleh kerana itu, vermikompos merupakan baja organik yang mesra alam dan memiliki kelebihan tersendiri dibandingkan dengan kompos lain yang kita kenal selama ini.

Umumnya terdapat dua jenis sumber baja yang boleh digunakan di ladang sawit iaitu baja kimia atau inorganik dan baja organik.

Baja Kimia

Baja kimia lazimnya mengandungi nutrien yang tinggi dan boleh didapati dalam tiga bentuk iaitu baja tunggal, campuran dan sebatian. Baja tunggal mengandungi satu unsur utama sahaja, manakala baja campuran dan sebatian mengandungi lebih daripada satu unsur utama. Baja campuran dibuat dengan mencampurkan beberapa jenis baja tunggal secara fizikal. Baja sebatian pula dibuat dengan menggabungkan beberapa unsur melalui proses basah secara kimia (contoh: MPOB F2) atau proses kering menggunakan tekanan tinggi (contoh: MPOB F1). Pemilihan sesuatu jenis baja campuran atau sebatian bergantung pada sifat tanah dan sifat sesuatu baja berkenaan. Contoh, tanah pedalaman mengandungi tanah liat dan bahan organik yang sederhana, maka penggunaan nitrogen berasaskan ammonium sulfat atau klorida lebih sesuai kerana kurang meruap tetapi asidik. Sebaliknya, untuk tanah gambut yang mengandungi bahan organik yang tinggi, nitrogen berasaskan urea lebih sesuai kerana mudah meruap tetapi kurang asidik. Oleh itu, apabila membeli baja adalah penting untuk mengetahui asas sumber nitrogen yang digunakan. Sebelum menggunakan baja kimia adalah penting untuk meneliti ciri-ciri fizikalnya terlebih dahulu. Ciri-ciri fizikal baja kimia yang baik ialah berkeadaan kering dan mudah ditabur. Sebaliknya, baja campuran, mudah menjadi lembap, basah dan seterusnya keras apabila disimpan terlalu lama. Ini kerana baja fosfat dan kieserite apabila dicampur dengan baja ammonium sulfat atau urea akan bertindak balas dan menyebabkan campuran tersebut menjadi lembap/berair dan kemudian keras. Oleh itu, baja campuran hendaklah digunakan dengan segera. Beg baja campuran juga perlu digoncang terlebih dahulu sebelum dibuka untuk mengurangkan pengasingan unsur nutrien yang terjadi kerana saiz, bentuk dan ketumpatan partikel baja yang berbeza. Secara umum, harga nutrien baja tunggal per unit adalah lebih murah berbanding baja campuran dan sebatian tetapi memerlukan kos buruh yang lebih untuk menabur setiap jenis baja. Bagi mencapai matlamat membekalkan baja seimbang dengan kos yang berpatutan adalah lebih praktikal pekebun kecil menggunakan baja campuran (dengan syarat baja tidak lembap dan keras) atau baja sebatian untuk pembajaan tahunan dan menggunakan baja tunggal dari semasa ke semasa bagi mengatasi kekurangan nutrien yang khusus sekiranya berlaku.

Baja Organik

Baja organik secara amnya mengandungi peratus nutrien yang rendah tetapi mengandungi bahan organik yang tinggi untuk memperbaiki sifat fizikal tanah. Sebagai contoh, tandan buah kosong (TBK) sawit mengandungi lebih kurang 0.35% N, 0.03% P, 2.29% K dan 0.18 % Mg adalah sumber bahan organik yang mudah digunakan. Nutrien yang terdapat dalam TBK akan terurai selepas melalui proses pereputan dan mineralisasi dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. TBK digunakan sebagai sungkupan keliling pokok muda dan disusun antara barisan pokok bagi pokok matang. Di pasaran, terdapat juga baja organik yang sudah diproses dan kadangkala diperkaya dengan unsur tertentu tetapi harganya lebih mahal berbanding dengan bahan organik yang belum diproses seperti TBK. Baja organik yang sudah diproses selalunya tidak ekonomik untuk digunakan di ladang sawit. Baja organik digunakan untuk memperbaiki sifat tanah dan bukan untuk nutriennya. Contoh, tanah yang mengandungi peratus liat atau pasir yang tinggi (terlalu keras atau terlalu perui) atau kawasan tadahan hujan yang rendah (terdapat bulan kering yang nyata) harus diberi keutamaan menggunakan baja organik.

Sekian Sawit,

~Oil Palm Pal

Video Terbaru - Cara Kira Harga Buah Sawit

Berita Terbaru

NGO Barat senaraikan amaran tebang hutan di Malaysia/Indonesia

India Potong Cukai Import - Dorong import Minyak Sawit Malaysia

📰
Senarai berita lain

Artikel Terbaru

Baka Sawit Yangambi ML161 - Produk terhangat FGV

4 Cara Elak Baja Tiruan - Kenali Baja Tiruan

Artikel Ilmu Sawit Tambahan

Ilmu Sawit

Perlukan nasihat atau ilmu tentang sawit ?

Tinggalkan email anda untuk saya bantu. Boleh tanya soalan atau apa apa berkait dengan sawitSaya akan tolong dengan ikhlas.

Moga berhasil :)

Siapakah Oil Palm Pal?

Oil palm pal merupakan satu platform ilmu dan perkongsian berasaskan tanaman kelapa sawit.

Dengan pengalaman dalam industri penanaman kelapa sawit Malaysia lebih daripada 13 tahun bersama syarikat-syarikat konglomerat sawit dan juga penanaman sawit secara pekebun kecil.

Sebarang soalan yang ditanya dalam platform ini akan diselidik dan diberi nasihat berdasarkan pengalaman industri sawit dan rujukan badan kajian/berkuasa kelapa sawit seperti MPOB, FGV, RISDA dan syarikat perladangan swasta.